Kisah Anak Kecil dengan Hasan al-Basri



                Dikisahkan dalam sebuah riwayat, ketika Hasan al-Basri sedang duduk dekat pintu rumahnya, lalulah orang ramai membawa jenazah seorang lelaki. Dalam kumpulan itu terdapat anak kecil perempuan dengan rambut terurai sambil menangis. Untuk mengetahui keadaan anak kecil itu, Hasan Basri mengikuti jenazah itu.

gambar sekadar hiasan

               Dalam masa berjalan itu berkata anak kecil itu,”Wahai ayahku, mengapakah tiba hari yang semacam ini dalam hidupku?”

                Berkata Hasan Basri,”Wahai anak kecil, tidak akan datang lagi hari seperti ini kepada ayahmu.”

                Setelah Hasan Basri menyembahyangkan jenazah tersebut beliau pun terus pulang. Pada keesokan harinya, Hasan Basri pergi ke masjid untuk menunaikan sembahyang subuh, setelah selesai solat, Hasan Basri balik ke rumahnya dan duduk dekat pintu rumahnya.

                Ketika Hasan Basri duduk dekat pintu itu, dia terpandang budak perempuan yang kematian ayahnya semalam menuju ke kubur ayahnya untuk ziarah.

                Berkata Hasan Basri dalam hatinya,”anak kecil ini nampaknya seperti cerdas, ada baiknya kalau aku ikuti dia, mungkin dia akan menyebut perkataan yang bermanfaat bagiku.” Hasan Basri mengikut budak perempuan itu dari belakang, apabila sampai di tempat perkuburan ayah kanak-kanak itu, Hasan Basri pun bersembunyi.

                Anak kecil itu memeluk kubur ayahnya dan meletakkan pipinya dia atas tanah sambil menangis dia berkata, “Wahai ayahku, bagaimana kamu tinggal di dalam kegelapan kubur seorang diri tanpa lampu mahupun penghibur? Wahai ayahku, kelmarin dulu aku nyalakan lampu untukmu, sekarang siapakah yang menyalakan lampu untukmu malam tadi?”

                Berkata anak kecil itu lagi,”wahai ayahku, kelmarin dulu aku menghamparkan tempat tinggalmu, siapakah yang menghamparkan tempat tidurmu malam tadi? Wahai ayahku, kelmarin dulu aku picitkan kedua tangan dan kakimu, siapakah yang memicitmu malam tadi? Wahai ayahku, kelmarin dulu aku balikkan tubuhmu dari satu tempat ke satu tempat, siapakah yang membalikkan tubuhmu malam tadi? Wahai ayahku, kelmarin dulu aku tutup tubuhmu yang terbuka, siapakah yang menutupmu malam tadi? Wahai ayahku, kelmarin dulu aku memberimu minum, siapakah yang memberimu minum malam tadi? Wahai ayahku, kelmarin dulu aku merenungi wajahmu, siapakah yang merenungimu malam tadi?”

                “Kelmarin dulu kamu memanggil kami dan kami menjawab panggilanmu, siapakah yang kamu malam tadi dan siapa pula yang menjawab panggilanmu? Wahai ayahku, kelmarin dulu aku memberimu makan makanan yang menjadi kegemaranmu apabila kamu memerlukan, siapakah yang memberimu makan makanan yang menjadi kegemaranmu malam tadi?” 


gambar sekadar hiasan

                Berkata anak kecil itu lagi,”Wahai ayahku, kelmarin dulu aku memasakkan berbagai makanan untukmu, siapakah yang memasakkan untukmu malam tadi?”

                Sebaik sahaja Hasan Basri mendengar kata-kata anak kecil itu, beliau pun menangis dan memperlihatkan dirinya kepada anak kecil itu. Berkata Hasan Basri,”Wahai anakku, janganlah kamu mengucapkan kata-kata seperti itu, tetapi katakana seperti ini: Wahai ayahku, kami telah menghadapkan kamu kearah kiblat, apakah kamu tetap berkeadaan demikian atau kamu telah dihadapkan kearah lain? Wahai ayahku, kami telah mengafani kamu dengan baik, apakah kafanmu itu tetap seperti itu atau telah ditanggalkan darimu? Wahai ayahku, kami telah meletakkan kamu ke dalam kubur sedangkan badanmu masih utuh, apakah badanmu tetap utuh atau telah dimakan cacing? Wahai ayahku, sesungguhnya para ulama’ berkata bahawa kubur itu dilapangkan bagi sesetengah manusia (yang beramal soleh) dan disempitkan bagi sesetengah manusia (yang ingkar pada perintah Allah),apakah kuburmu itu terasa sempit atau lapang rasanya bagimu? Sesungguhnya para ulama’ berkata bahawa setengah mereka diganti kafannya dengan kafan dari syurga dan sebahagian lainnya digantikan dengan kafan dari neraka. Apakah kafanmu itu diganti dengan kafan syurga atau kafan neraka?”

                “Wahai ayahku, sesungguhnya para ulama’ berkata bahawa kubur itu ialah tempat menentukan salah satu kebun ke syurga atau salah satu parit ke neraka.” 
gambar sekadar hiasan

                “Wahai ayahku, sesungguhnya para ulama’ berkata kubur itu memeluk setengah penghuninya seperti seorang ibu memeluk anaknya dan kubur juga akan membenci serta menghimpit setengah penghuninya hingga bertelagah tulang rusuknya. Apakah kubur ini memelukmu atau menghimpitmu?”

                “Wahai ayahku, para ulama’ berkata bahawa sesiapa yang diletakkan dalam kubur, kalau dia seorang yang taqwa, dia pun akan menyesal kerana kurang membuat amal kebaikan dan apabila seseorang itu orang yang berdosa dia akan menyesal mengapa dia melakukan maksiat. Apakah kamu menyesal atas dosa-dosamu atau kamu menyesal kerana kurang amal kebaikkanmu?”

                “Wahai ayahku, jika aku memanggilmu tentu engkau menjawab panggilanku, tetapi aku memanggilmu di kepala kuburmu, mengapa aku tidak mendengar suaramu?”
                Berkata anak kecil itu,”Ya Pak Cik, alangkah baiknya perkataan yang engkau ucapkan untuk ayahku dan alangkah baiknya nasihatmu kepadaku dan peringatanmu terhadap orang-orang yang lalai.”

                Setelah itu,Hasan Basri dan anak kecil itu pun balik ke rumah masing-masing dalam keadaan menangis.

                Kisah ini hendaklah kita jadikan teladan kepada diri kita sendiri, kerana setiap kita akan mati dan setiap yang sudah mati itu akan menghadapi satu alam yang sangat hebat iaitu alam kubur. Kita tidak tahu bagaimana keadaannya kubur kita, tetapi yang harus kita tahu ialah siksa kubur itu amat pedih sekali.


gambar sekadar hiasan


                Oleh itu hendaklah kita sentiasa melaksanakan segala perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya. Insya-Allah, dengan rahmat dari-Nya akan selamatlah kita dari siksaan kubur itu.

                                                                                               -Admin Izham-

Share this:

ABOUT THE AUTHOR

Hai, sila tinggalkan komen, cadangan atau apa-apa sahaja untuk kami kongsikan melalui blog ini. AMARAN! sebarang artikel di dalam blog ini adalah hak cipta sepenuhnya daripada pengarang dan anda dilarang sama sekali untuk menyalin mana-mana artikel kecuali dengan izin pengarang. Teruskan membaca artikel kami. Terima Kasih.

0 comments:

Post a Comment